Friday, May 23, 2008

Cacing Vermikultur


Beberapa spesies cacing tanah telah digunakan untuk tujuan vermikultur. Spesies paling popular ialah cacing belang atau cacing harimau Eisenia foetida, cacing merah atau cacing najis Lumbricus rubellus, dan Amynthas gracilis.

Cacing tanah yang biasa kita lihat atau cacing taman atau cacing padang ialah jenis cacing yang tinggal di dalam tanah dengan membina terowong dan lubang-lubang dalam
tanah. Cacing ini tidak sesuai untuk tujuan penghasilan vermikas.

Cacing harimau atau cacing merah biasanya tinggal dalam najis, timbunan kompos dan bahan tumbuhan yang kaya dengan bahan organik. Bahan organik yang dimakan akan melalui bahagian prostomium, iaitu struktur seperti mulut yang dapat memegang
makanan (Gambar Di atas ). Bahagian paling anterior ialah struktur prostomium yang berfungsi seperti mulut, iaitu menolak dan mengambil makanan untuk ditelan.

Bahagian farinks boleh dijulur keluar bagi menolak makanan ke dalam sistem penghadaman cacing. Cacing tanah tidak bergigi, oleh itu makanan diselaputi oleh air liur yang menjadikannya lembut dan mudah dihadam. Makanan diambil oleh bahagian prostomium yang berbentuk seperti bibir yang terbalik, yang mengambil makanan untuk dimasukkan ke dalam salur penghadaman di dalam badan. Selepas ditelan, makanan bergerak ke esofagus ke dalam perut dan akhirnya ke dalam gizard atau hempedal.

Di dalam hempedal cacing, terdapat batu-batu halus yang mengisar makanan. Makanan yang telah dikisar bergerak ke usus yang panjang, iaitu sama panjang dengan ukuran cacing tersebut. Di akhir usus ialah dubur yang berfungsi mengeluarkan kasting atau najis cacing. Dalam masa 24 jam, 1 kg cacing berupaya memakan 1 kg sampah dan
menghasilkan lebih kurang 350 g vermikas, iaitu sepertiga jumlah
yang dimakan.

Cacing tidak mempunyai mata atau telinga tetapi sangat sensitif terhadap getaran atau gegaran pada tempat pengkompos. Ia juga sangat sensitif terhadap cahaya. Cahaya ultralembayung boleh memudaratkan cacing. Pendedahan selama satu jam di bawah
matahari yang cerah boleh menyebabkan lumpuh separa atau sepenuhnya. Beberapa jam pendedahan pula boleh membawa maut. Cacing bernafas melalui kulitnya yang sentiasa lembab. Oksigen diserap oleh lembapan kulit dan diangkut ke dalam kapilari tubuh
cacing. Keadaan tempat ternakan yang tergenang dengan airmemudaratkan cacing dan menyebabkan ia lemas kerana keadaan anaerob.

Puncak Jaya Agro Resources

No comments: