Saturday, May 24, 2008

Faedah Baja Vermikas

Vermikas mengandungi humus semula jadi yang mendatangkan faedah kepada tumbuhan seperti berikut:

1. Mampu bertindak sebagai penampan keasidan tanah. Kehadiran-nya mengimbangi pH melampau, iaitu vermikas mampu meningkatkan ketersediaan nutrien tanah untuk tumbuhan.

2. Berfungsi sebagai pemerangkap toksin dalam tanah. Humus mempunyai kemampuan untuk memerangkap logam berat atau menetapkan logam berat seperti yang terdapat dalam najis
manusia, najis haiwan, sisa tumbuhan dan gambut. Menghalang tumbuhan daripada menyerap logam berat tersebut secara berlebihan.

3. Vermikas bertindak sebagai perangsang pertumbuhan. Asid humik yang terkandung dalam vermikas mampu merangsang pertumbuhan tanaman seperti barli, tomato, kentang dan gandum.

4. Selain berfungsi sebagai humus, vermikas juga mampu membe-kalkan nutrien tumbuhan. Vermikas biasanya mengandungi lebih banyak kandungan nutrien berbanding kompos biasa.Walaupun kandungan nutrien major seperti N, P dan K lebih rendah berbanding baja kimia tetapi kaya dengan kandungan minor dan unsur surih yang dapat memberi keseimbangan nutrien kepada tumbuhan.

5. Penghasilan vermikas melalui sistem vermikultur mampu mengurangkan pembuangan sisa organik ke tempat pelupusan sampah yang hampir penuh. Projek vermikas mampu mengu-rangkan sisa betul-betul pada punca sisa itu terhasil seperti sisa rumah tangga atau pertanian tanpa perlu memisahkan kategori sampah yang mungkin sangat sukar dilakukan setelah sampai ke peringkat yang berikutnya.

6. Kenyataan Eastman (1999) menunjukkan bilangan cacing pita Ascaris sp. menurun sehingga 48% selepas 72 jam rawatan vermikultur sementara kawalan, iaitu rawatan tanah, tidak menunjukkan sebarang penurunan. Salmonella sp. menurun sebanyak 99% selepas 72 jam proses vermikultur sementara kawalan rawatan tanah menurun sebanyak 93%. Koliform najis juga menurun sebanyak 99% dengan kawalan menurun sebanyak 20% sahaja. Bukti ini menunjukkan proses vermikultur mampu menurun dan menstabilkan jumlah bilangan patogen E. coli, Salmonella, dan telur helmin pembawa penyakit seperti Ascaris.


Puncak Jaya Agro Resources

No comments: